Search This Blog

Loading...

Thursday, January 14, 2010

PANCING udang galah yang besar dan gemuk

PARIT BUNTAR: Sungai Kerian dekat sini memang terkenal dengan udang galah yang besar dan gemuk. Musim kemarau seperti sekarang adalah masa yang sesuai untuk turun memancing si sepit biru ini.

Isinya sedap dan juga harganya yang mahal menjadikan ia tarikan utama sama ada pemancing atau nelayan sungai bertandang ke sini walaupun terdapat banyak spesies lain seperti ikan baung dan lampam.

Kunjungan Cikgu Zaidi Salleh dan Sir Rustam ke Sungai Kerian sering membuahkan hasil. Biasanya, berkilogram udang pasti menjadi habuan mereka. Terdapat banyak tempat menyewa bot untuk meninjau lubuk pilihan di Sungai Kerian. Antara jeti yang dapat pemancing ke sana seperti jeti Lubok Buntar dan Sungai Incong selain jeti di Sungai Kerian.

Sepanjang perjalanan kita dapat saksikan keindahan hutan semula jadi yang belum tercemar. Walaupun cuaca agak panas tetapi masing-masing lebih teruja untuk terus menyelongkar rahsia lubuk si udang galah Kerian ini. Kadang kala kehadiran kami disambut meriah oleh monyet yang menjadi penghuni tetap tebing sungai ini.

Bagi pemancing yang belum biasa ke sini dinasihatkan berhati-hati ketika memandu bot kerana terdapat banyak tunggul dan kayu pancang terbiar. Banyak insiden perlanggaran dilaporkan berlaku. Tidak kurang juga yang tersesat kerana kurang arif selok belok sungai ini.

Umpan yang sering digunakan di sini ialah perumpun nipah dan pelbagai umpan lain. Asalkan ia berhasil, bawalah apa saja umpan ke sini. Di samping itu, anda boleh juga memancing ikan baung yang bersaiz besar menggunakan ulat lundi. Ikan lampam juga dapat dilayan menggunakan umpan usus ayam.

Biasanya setiap pemancing akan menggunakan dua joran lembut di kiri dan kanan birai bot ketika memancing. Memang syok memancing udang galah ini. Kita perlu sedikit sentimental dan jangan gelojoh. Kekuatan tarikan udang walaupun tidak sehebat ikan namun ia memerlukan kemahiran dan teknik yang betul. Bagi yang belum biasa, tentu akan merasa gian jika terkena getuan manja si sepit biru ini.

Banyak juga udang galah yang berjaya dipancing. Hasil yang agak lumayan itu membuatkan masing-masing tersenyum. Walaupun berpanas sepanjang hari namun kepuasan memancing si sepit biru Sungai Kerian memberi seribu kepuasan.

Info

UMPUN-UMPUN umpan terbaik di Sungai Kerian. Masa memancing adalah lewat petang, awal pagi mahupun sebelah malam.

Musim udang galah

HUJUNG dan awal tahun adalah masa paling sibuk bagi pemancing udang galah. Musim udang galah sering disamakan dengan musim daun getah gugur. Ataupun ketika musim panas (kemarau) di Pantai Barat. Di Semenanjung, udang galah banyak di Sungai Muda (Kedah). Sungai Kerian dan Sungai Perak (Perak). Sungai Bernam, Sungai Selangor dan Tanjung Karang (Selangor). Sungai Linggi (Melaka). Sungai Muar, Sungai Johor, Sungai Sedili, Sungai Mawai dan Sungai Mersing (Johor). Sungai Endau, Sungai Pontian, Sungai Rompin, Sungai Merchong, Sungai Pahang dan Sungai Kuantan (Pahang). Di Terengganu Sungai Kemaman, Sungai Paka, Sungai Dungun, Sungai Nerus dan Sungai Setiu.

Memancing udang galah lazimnya menggunakan bot kecil dengan dua atau tiga pemancing. Umpan popular – umpun-umpun, ikan gapi, anak udang dan hati ayam. Waktu memancingnya awal pagi, petang dan malam.

Sila lepaskan jika anda memancing ibu udang yang bertelur bagi memberi peluang ia terus membiak.